Peranan Ibubapa Membimbing Anak-anak Mendapat Pendidikan Agama

Setiap ibu bapa perlu bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan pendidikan agama supaya anak-anak tersebut menjadi anak yang soleh. Ibu bapa perlu menjaga diri kanak-kanak dari perkara yang boleh merosakkan dirinya sama ada dari segi pemikiran dan fizikal. Penekanan kepada pendidikan agama harus diberikan perhatian yang serius dalam pembentukan sahsiah mereka. Islam juga telah menggariskan panduan dalam mendidik kanak-kanak. Antaranya ialah:

i. Mengajar mengenali sifat-sifat ketuhanan.
Islam menyuruh ibu bapa mengajar kanak-kanak supaya mengenali sifat-sifat ketuhanan. Ia merupakan pendidikan awal dan asas dalam pembentukan pemikiran kanak-kanak dan pembinaan akidah yang mantap sejak kecil lagi. Sifat wajib yang kedua puluh tersebut mestilah diajar dengan kefahaman yang mendalam. Kanak-kanak telah dilahirkan dalam keaadan fitrah putih bersih, ibu bapanya yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam membentuk indentiti agamanya.

ii. Mengajar cara-cara sembahyang
Ibu bapa wajib mendidik anak-anaknya cara bersembahyang sejak kecil lagi. Sabda Rasululluah SAW yang bermaksud :"Ajarlah anak-anak kamu bersembahyang ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka ketika berusia sepuluh tahun dan asingkanlah antara mereka dalam tempat tidur.”

iii. Mengajar ilmu pengetahuan
Ibu bapa bertanggungjawab mendidik serta memberi pendidikan ilmu pengetahuan yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa perlu menyemaikan minat untuk mereka membaca, dan cintakan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan ini meliputi segala ilmu yang manfaat kepada mereka dalam menghadapi cabaran hidup. Pada zaman sekarang, ilmu-ilmu multimedia, sains dan teknologi perlu dikuasai oleh mereka untuk menghadapi cabaran masa depan.

iv. Mengajar al-Quran
Rasulullah SAW sangat menekankan kepada ibu bapa agar mengajarkan al-Quran kepada anak-anak .Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tabrani yang bermaksud "Didiklah anak-anak kanu dengan tiga perkara iaitu cintakan nabi kamu, cintakan keluarga nabi kamu dan mengajarkan al-Quran kerana orang yang mendampingi al-Quran akan dinaungi oleh arash Allah pada hari yang tidak ada naungan selian darinya bersama para nabi-nabi dan pembantunya."

v. Mendidik mengenali kejadian alam ini
Ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak supaya mengenali kejadian alam ini serta mengambil iktibar daripadanya. Manusia perlu memahami hubungannya dengan alam sekeliling yang telah dijadikan oleh Allah untuk manfaat manusia.

vi. Mendidik dengan akhlak yang mulia.
Setiap ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anaknya dengan akhlak yang mulia seperti bersifat amanah, jujur, ikhlas, menghormati orang tua, menunaikan haji, bercakap benar, beradab ketika makan dan minum, memilih makanan yang halal, suka kepada perbuatan kebajikan dan ma'aruf, sentiasa mencari kebenaran dan keadilan, benci sifat keji, kezaliman dan kerosakan harta benda. Islam juga menyeru ibu bapa supaya mengajar anak-anak meminta izin sebelum memasuki bilik ibu bapa dalam waktu-waktu yang tertentu. Selain itu, ibu bapa haruslah menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.