Cara Mengelakkkan Kemalangan di Taska :)

Bayi mati tersedak susu, patah kaki jatuh tangga, terjatuh daripada buaian, terkena air panas dan keracunan makanan. Begitulah antara kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak di taska jika tiada langkah pencegahan dilakukan. Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor, Hajah Mahanom Haji Basri memberikan maklumat.

Kecederaan yang berlaku di taska bukan sesuatu pekara yang asing. Ia akan berlaku jika tiada langkah-langkah pencegahan dilakukan. Terdapat beberapa langkah pencegahan untuk atasi daripada kejadian buruk berlaku di taska. Bagi mengelakkan kejadian buruk akibat tersedak susu atau makanan yang boleh menyebabkan sesak nafas, waktu penyusuan yang berjadual perlu ada di mana ibu bapa perlu memaklumkan kepada pengasuh bilakah penyusuan yang terakhir diberi kepada bayi sebelum dihantar ke taska. Dengan ini, pengasuh boleh tahu waktu penyusuan yang seterusnya. Bayi akan menghisap susu dengan pantas jika terlalu kehausan dan kelaparan.

Sendawakan bayi meskipun bayi sudah tertidur. Pengasuh perlu berada berhampiran dengan bayi sehingga selesai waktu penyusuannya dan disendawakan walau apa alasan sekalipun. Jika pengasuh masih perlu untuk meninggalkan bayi sewaktu menyusu, dapatkan bantuan pengasuh yang lain. Apa yang penting adalah pengasuh perlu menjalankan tugas secara berpasukan dan profesional.

Antara langkah lain untuk mencegah daripada kejadian buruk ini berlaku, pendekatan proaktif perlu diambil. Ibu bapa dan pihak taska perlu menilai dan melaporkan tempat yang boleh mengancam keselamatan kanak-kanak. Oleh itu, kemalangan atau kejadian buruk yang boleh berlaku dapat dijangka lebih awal sebelum kemalangan betul-betul berlaku. Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan ialah menjauhkan kanak-kanak daripada barang atau perkakas yang membahayakan (termasuk pisau, paku, jarum, cerek panas, wayar dan suis elektrik).

Pastikan disimpan barang-barang tersebut di tempat selamat dan tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak. Sentiasa peka dan prihatin pada setiap pergerakan kanak-kanak termasuk tidak membiarkan kanak-kanak bermain di tempat tinggi seorang diri, bermain dengan kanak-kanak yang nakal.

Pengasuh, pendidik, ibu bapa perlu menitikberatkan aspek kebersihan persekitaran permainan dan aktiviti kanak-kanak (contoh: untuk elakkan kanak-kanak mengutip makanan yang kotor di lantai yang mana boleh menyebabkan keracunan). Mengambil berat dan peka kepada kesihatan kanak-kanak (contohnya demam, kudis, ruam dan alahan) dengan membuat pemeriksaan kesihatan, kecederaan dan perubahan fizikal pada tubuh dan sikap dan emosi kanak-kanak atau merujuk kepada pakar perubatan sekiranya perlu.

Sikap Ibu Bapa


Ada segelintir ibu bapa yang memilih taska berdekatan dengan rumah tanpa mentingkan ciri-ciri keselamatan, beliau menjelaskan bahawa ibu bapa jangan terlalu mementingkan kos yang terpaksa dikeluarkan, sebaliknya perlu menitikberatkan kebajikan dan perkembangan kanak-kanak kerana anak-anak ialah pelaburan yang paling berharga untuk kita di masa akan datang.

Sekiranya taska tersebut jauh dari tempat kediaman, memang kos yang terpaksa dikeluarkan meningkat, namun pulangan yang bakal diterima oleh ibu bapa sangat menguntungkan lebih-lebih lagi terhadap perkembangan kanak-kanak itu sendiri. Juga boleh memilih taska itu sebagai taska pilihan untuk anak atas cadangan rakan atau jiran. Ini kerana kawan-kawan anda telah melalui, melihat dan merasai pengalaman sendiri dengan menghantar anak mereka ke taska tersebut.

Mereka dapat melihat prestasi dan perkembangan anak-anak mereka dari segi sahsiah, sosio-mosi dan kerohanian, fizikal, deria, kreativiti, bahasa dan literasi serta pemikiran logik.

Namun pastikan taska itu berdaftar. Ini kerana taska berdaftar menyediakan program asuhan dan didikan mengikut spesifikasi dan piawaian yang telah ditetapkan antaranya dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba&Penyelamat dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Selain itu, program yang dijalankan lebih tersusun dan meliputi aspek perkembangan kanak-kanak bukan sahaja mengandungi elemen asuhan malah merangkumi elemen didikan awal yang diperlukan oleh kanak-kanak.

Kejadian buruk yang mungkin berlaku dan kesannya kepada kanak-kanak

1. Kanak-kanak jatuh luka /jatuh tangga / tersepit jari
Kesan : Kanak-kanak berasa sakit, berdarah mewujudkan perasaan fobia/trauma.

2. Digigit oleh kanak-kanak lain
Kesan : Mewujudkan sikap tidak percaya, tidak selamat berada di taska.

3. Terjerut / terjatuh daripada buaian
Kesan : Kecederaan/kecacatan pada anggota badan, kematian

4. Keracunan: Makanan yang disediakan oleh taska, atau kanak-kanak kecil mengutip benda kotor dan memasukkan ke dalam mulut.
Kesan : Adakalanya bayi menemui ajal tanpa diketahui puncanya . Keadaan ini dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai ‘Cot Death ‘

5. Terkena air panas
Kesan : Kecederaan fizikal dan kecacatan kekal

6. Demam panas tiada rawatan sehingga berlaku kekejangan.
Kesan : Kecacatan otak, masalah pembelajaran, masalah perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak

7. Penderaan fizikal
Kesan : Kecederaan pada tubuh badan, trauma/fobia, kanak-kanak ketakutan.

8. Penderaan emosi serta tiada layanan mesra sebagai ibu ganti atau kakak ganti selain ibu bapa
Kesan : Kanak-kanak mengalami kemurungan, melemahkan pembentukkan personaliti kanak-kanak, pendiam , kurang aktif.

9. Tersedak susu atau makanan, sesak nafas.
Kesan : Kematian

10. Alahan pada makanan
Kesan : Gatal-gatal pada kulit, kemerahan, bengkak pada tubuh badan

11. Jangkitan kulit (kudis)
Kesan : Jangkitan dari kanak-kanak lain, kanak-kanak tidak selesa, menangis.

12. Ruam (panas , kurang penjagaan kebersihan)
Kesan : Kanak-kanak tidak selesa, gatal-gatal.

13. Lemas (di bilik air-air bertakung)
Kesan : 
Koma, kecacatan otak, kematian.


sumber : http://pama.karangkraf.com

Mendidik Anak Melalui Kaedah Khalifah :)

Tiga langkah mudah Kaedah Khalifah

Berikut adalah tiga perkara yang anda harus lakukan dengan konsisten dan berterusan setiap hari, untuk memastikan anak anda menjadi Khalifah Allah yang cemerlang, di mana mereka cintakan segala suruhan Allah, dan jauhi segala larangan-Nya:

Langkah 1: Tanam dalam diri anak-anak mahu jadi Khalifah Allah yang sejati. Lakukannya dengan cara yang boleh menimbulkan perasaan dalam hati mereka bahawa ini adalah satu penghormatan yang besar dan tanggungjawab yang menyeronokkan. Terangkan kepada anak-anak anda tiga tanggungjawab Khalifah Allah iaitu:

1) Jadikan diri baik
2) Bantu orang lain jadi baik
3) Jadikan alam sekeliling bersih, indah dan sejahtera

Sekurang-kurangnya lima kali dalam sehari, dengan cara yang positif dan berbeza-beza ingatkan anak anda yang dia adalah seorang Khalifah Allah.

Langkah 2: Perkukuhkan tabiat baik melalui ganjaran. Lakukan sekurang-kurangnya beberapa kali sehari, dengan cara yang berbeza-beza, berikan ganjaran berupa kata-kata penghargaan, perhatian dan kasih sayang untuk perkara baik yang anak-anak lakukan atau perkara buruk yang mereka tinggalkan.

Langkah 3: Sediakan peraturan yang jelas supaya anak-anak tahu dan faham apa yang mereka boleh buat dan apa yang mereka perlu jauhi. Laksanakan peraturan dengan tegas tetapi secara lembut iaitu tanpa kekasaran dan cemuhan.

Langkah-langkah di atas mungkin kelihatan terlalu mudah berbanding matlamat yang ingin dicapai, tetapi setiap ibu bapa yang mencubanya dengan betul dan istiqamah dapat melihat perubahan anak-anak. Anak-anak mudah diurus dan yang lebih pentingnya dengan kaedah ini mereka sendiri akan pilih untuk berbuat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang.

Cc : Khalifah Institute.